Akta Ibukota Persekutuan 1960

Pada tahun 1960, parlimen meluluskan rang undang-undang yang dipanggil Akta Ibukota Persekutuan 1960 atau biasa disebut Akta 190. Melalui akta ini, bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur (ketika itu Majlis Perbandaran Kuala Lumpur di bawah kerajaan Selangor) telah dipindahkan dari senarai kerajaan negeri ke kerajaan Persekutuan sepenuhnya dan ditukarkan namanya menjadi Suruhanjaya Ibukota dengan bidang tugas yang khusus hanya bagi Ibukota Kuala Lumpur sahaja. Jawatan Pesuruhjaya Ibu Kota Kuala Lumpur juga diwujudkan mengikut akta ini yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menguruskan pentadbiran Kuala Lumpur. [1]

Akta ini pernah disemak dan dipinda bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang tekandung didalamnya terutamanya selepas terbentuknya Wilayah Persekutuan. Akta 59 iaitu Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1971 (peruntukan berkenaan dengan perubahan gelaran dan perkara lain yang berbangkit mengenai penganugerahan taraf Bandaraya kepada Perbandaran Ibu Kota Kuala Lumpur) pula digubal bagi menyokong Akta Ibukota Persekutuan sedia ada.

Menurut peruntukan seksyen 4 (d), Pindaan kepada gelaran, Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1971, Pesuruhjaya Ibu Kota Kuala Lumpur sah untuk dipindakan kepada gelaran baru iaitu Dato Bandar Kuala Lumpur.[2]

Penggubalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) tidak menjejaskan sama sekali Akta Ibukota Persekutuan 1960, mana-mana seksyen dalam Akta 171 yang tidak bertentangan dengan Akta 190 adalah diguna pakai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search