Dolar Borneo Utara British

Duit syiling 1 sen Malaya dan Borneo British (1962) sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

Dolar Borneo Utara British ialah mata wang Borneo Utara British antara 1882 hingga 1953. Nilainya sama sahaja dengan dolar Selat dan penggantinya, dolar Malaya (mata wang Malaya dan Singapura), iaitu 2 syiling 4 peni setiap dolar, sejak pengenalannya sehingga kedua-dua mata wang itu digantikan dengan dolar Malaya dan Borneo British pada tahun 1953.

Dolar Borneo Utara British dibahagikan kepada 100 sen. Pada sepanjang sejarahnya, duit syiling ditempa dalam jenis mata wang ½ sen, 1 sen, 2½ sen, 5 sen, dan 25 sen. Hanya duit syiling 25 sen mengandungi logam berharga. Nota-nota bank dicetak dalam jenis wata wang 25 sen, 50 sen, $1, $5, $10, dan $25. Reka bentuknya tidak banyak berubah semasa hayatnya dan menonjolkan jata, Gunung Kinabalu atau kedua-duanya. Bagaimanapun, saiz fizikal nota bank menyusut dengan berlangsungnya masa. Kedua-dua duit syiling dan nota bank dikeluarkan oleh Syarikat Borneo Utara British.

Semasa zaman pendudukan Jepun (1942-1945), wang kertas dikeluarkan dalam jenis mata wang 1 sen hingga 1,000 dolar. Nilainya ditetapkan pada kadar 1 dolar = 1 yen Jepun, berbanding dengan kadar pra-perang sebanyak 1:2. Selepas perang, mata wang pendudukan Jepun diisytiharkan sebagai tidak bernilai dan nilai dolar Borneo Utara British dipulihkan kepada nilai berasaskan sterling yang dahulu sebanyak 2 syling 4 peni.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search