Kecondongan paksi

Untuk memahami kecondongan paksi, anggaplah solenoid biru dalam petua tangan kanan ini sebagai paksi putaran Bumi, arah lawan jam medan magnet sebagai 'satah orbit' Bumi dan arah ibu jari ke arah kutub utara Bumi. Dalam rajah ini, 'kecondongan paksi' adalah sifar darjah kerana paksi putaran itu serenjang dengan satah orbit. Jika solenoid biru (paksi putaran) ini condong sedangkan satah orbit kekal tegak, maka inilah kecondongan paksi planet atau jasad samawi berkenaan.

Dalam bidang astronomi, kecondongan paksi merupakan sudut di antara paksi putaran sesebuah objek, dan garis yang serenjang dengan satah orbitnya. Ia berbeza dengan kecondongan orbit.

Untuk mengukur kecondongan aksi, gunakan petua tangan kanan untuk putaran dan pergerakan orbit sekali, iaitu: garis dari bucu di pusat objek ke kutub utara (di atas mana objek kelihatan berputar melawan arah jam); dan garis yang dilukiskan dari bucu itu pada arah normal ke satah orbitnya, (di atas mana objek bergerak melawan arah jam pada orbitnya). Pada sifar darjah, garis-garis ini menunjuk ke arah yang sama.

Kecondongan paksi planet Zuhrah adalah 177.3° kerana ia berputar secara songsang dengan planet-planet lain seperti Bumi. Kutub utara Zuhrah menunjuk ke 'arah bawah' (iaitu arah selatan kita). Planet Uranus berputar sambil 'berbaring', yang mana paksi putarannya, yakni kutub utaranya, menunjuk lebih kurang ke arah orbitnya di keliling Matahari. Oleh itu, kecondongan paksi Uranus ialah 97°.[1]

Sepanjang perjalanan mengikut orbit, biarpun sudut kecondongan paksi tidak berubah, namun orientasi kecondongan paksi sesebuah planet melengkapi pusingan 360 darjah (satu kitaran lengkap di keliling Matahari) secara nisbi dengan garis antara planet dan Matahari, maka jadinya perubahan musim di Bumi.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search