Kitab Kejadian

Kitab Kejadian (akronim Kej.) adalah buku pertama di dalam Alkitab agama Yahudi dan Kristian. Ia juga adalah buku pertama di dalam Taurat Musa. Ia dikenali di dalam bahasa Ibrani sebagai B'reshit [1] (בראשית) manakala di dalam bahasa-bahasa Eropah, ia lazimnya dikenali dengan nama yang diperolehi daripada nama bahasa Yunani, Genesis (Γένεσις) yang membawa maksud "kelahiran", "penciptaan", "permulaan", "sumber" ataupun "asal-usul" [2].

Kitab Kejadian mengisahkan penciptaan alam semesta, asal usul manusia, permulaan dosa dan penderitaan di dunia, serta cara Tuhan (atau "Allah" sepertimana lazim dalam para penganut Kristian Nusantara[3]) berhubung dengan manusia.[4] Secara amnya, para cendekiawan berpendapat bahawa Kitab Kejadian dibahagikan kepada dua bahagian utama; iaitu Sejarah Purbakala yang direkodkan dari Kejadian 1-11 dan Kitaran Asal-Usul yang direkodkan dari Kejadian 12-50 [5]. Kitab Kejadian besar kemungkinan telah ditetapkan susunannya menjelang kurun ke-5 sebelum Masehi dengan sejarah penulisan yang mungkin telah bermula sejak kurun ke-10 sebelum Masehi. Umat Yahudi, Kristian dan Islam yang alim mempercayai bahawa sumber asal isi Kitab Kejadian berpunca terus daripada wahyu Tuhan.

  1. ^ Perkataan Ibrani #7225: Leksikon Ibrani Strongs
  2. ^ Perkataan Yunani #1078: Leksikon Yunani Strongs
  3. ^ Istilah "Allah" yang digunakan oleh masyarakat bukan Islam di Malaysia menjadi perkara kontroversi pada masa kini. Penggunaan istilah "Allah" di artikel ini cuma mencerminkan penggunaan masyarakat Kristian Malaysia sendiri dan tidak bertujuan untuk membuat apa jua pendirian di dalam kontroversi tersebut
  4. ^ Kata Pengantar bagi Kitab Kejadian: Alkitab Berita Baik, Petaling Jaya: Bible Society of Malaysia, 2001, ISBN 9830300129
  5. ^ Rendtorff, Rolf (1991), The Old Testament, Philadelphia: Fortress Press, ISBN 0800607503

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search