Pasport

Rupa pasport-pasport dipakai dalam Nusantara dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Pasport (disebut [pas.port - Mal., Sin., Bru.]) atau paspor (disebut [pas.por - Ind.])[1] ialah dokumen perjalanan dikeluarkan oleh pemerintahan sesebuah negara yang biasanya mengenal pasti pemegangnya sebagai seorang warganegara pengeluar dokumen itu yang sah serta meminta agar pemegang dibenarkan masuk dan melalui negara-negara lain.

Pasport-pasport dikaitkan dengan hak perlindungan undang-undang di luar negeri, dan hak untuk kembali ke negara kewarganegaraan sendiri. Pasport-pasport biasanya mengandungi gambar foto, tandatangan, tarikh kelahiran, kewarganegaraan, dan kadang-kadang cara-cara yang lain untuk mengecam identiti seseorang. Banyak negara dalam proses mengembangkan ciri-ciri biometri dalam pasport tersendiri supaya dapat mengesahkan dan memastikan lanjut pengenalan orang yang menyerahkan pasport sebagai pemegang yang sah.[2]

Pasport menentukan kewarganegaraan, tetapi tidak semestinya tempat kediaman pemegang pasport. Pemegang pasport biasanya berhak untuk memasuki negara yang mengeluarkan pasport, walaupun sesetengah orang yang berhak mendapat pasport mungkin tidak menjadi warganegara penuh dengan hak tempat tinggal. Pasport adalah dokumen yang mengesahkan identiti dan kewarganegaraan; mempunyai dokumen itu tidak dengan sendirinya memberikan apa-apa hak, seperti perlindungan oleh konsulat negara yang mengeluarkan pasport, walaupun ia mungkin menunjukkan bahawa individu itu mempunyai hak-hak tersebut. Sesetengah pasport membuktikan status sebagai diplomat atau pegawai lain, berhak mendapat hak-hak dan keistimewaan sebagaimana kekebalan daripada penangkapan atau pendakwaan,[2] yang timbul daripada perjanjian antarabangsa.

Banyak negara biasanya membenarkan kemasukan kepada pemegang pasport negara lain, kadang-kadang memerlukan visa, tetapi ini bukanlah hak automatik. Banyak keadaan tambahan lain, seperti tidak dikenakan pertuduhan atas sebab kewangan atau lain-lain, dan pemegang itu tidak pernah menjadi disabitkan dengan jenayah, mungkin boleh diterima pakai.[3] Bagi negara yang tidak mengiktiraf negara lain, atau ada perselisihan dengan negara itu, ia boleh melarang penggunaan pasport mereka untuk perjalanan ke negara tersebut, atau boleh melarang kemasukan kepada pemegang pasport negara tersebut, dan kadang-kadang kepada orang lain yang pernah, sebagai contoh, melawat negara tersebut.

Beberapa negara dan organisasi antarabangsa mengeluarkan dokumen perjalanan yang bukan pasport standard, tetapi membolehkan pemegang untuk melakukan perjalanan antarabangsa ke negara-negara yang mengiktiraf dokumen itu. Sebagai contoh, orang yang tidak berwarganegara biasanya tidak dikeluarkan pasport kebangsaan, tetapi mungkin boleh mendapatkan dokumen perjalanan pelarian atau "pasport Nansen" yang membolehkan mereka melakukan perjalanan ke negara-negara yang mengiktiraf status mereka, dan kadang-kadang untuk kembali ke negara yang mengeluarkan dokumen itu.[4]Sesebuah negara boleh mengeluarkan pasport untuk mana-mana orang, termasuk bukan warganegara.

Pasport sering diterima di negara pengeluar dan di tempat lain, sebagai bukti pengenalan yang boleh dipercayai, yang tidak berkaitan dengan perjalanan.[5]

  1. ^ "'passport' - Istilah MABBIM". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. ^ a b Cane, P; Conaghan, J (2008). The New Oxford Companion to Law. London: Oxford University Press. ISBN 9780199290543. Unknown parameter |lastauthoramp= ignored (bantuan)
  3. ^ "ilink - USCIS". uscis.gov. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-08. Dicapai pada 2016-09-10.
  4. ^ "FAQ #11: Does Refugee Travel Document guarantee me admission into the U.S.?". visapro.com. Dicapai pada 15 February 2014.
  5. ^ Contoh bank yang menerima pasport sebagai bukti pengenalan semasa membuka akaun

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search