Perdana Menteri

Sutan Syahrir
Tunku Abdul Rahman
Lee Kuan Yew
Pemegang kerusi Perdana Menteri pertama negara-negara Nusantara: Sutan Syahrir (R. Indonesia S., 1945–7), Tunku Abdul Rahman (PTM dan Malaysia, 1957–70) dan Lee Kuan Yew (Singapura, 1958–90)

Perdana menteri (Jawi: ڤردان منتري serapan Sanskrit: प्रधान मंत्री, rumi: pradhān mantrī; bahasa Inggeris: prime minister) ialah menteri yang paling kanan dalam kabinet, sebahagian cabang eksekutif dalam sistem berparlimen. Walaupun perdana menteri biasanya merupakan ahli politik, ini tidak semestinya.

Dalam banyak sistem, Perdana Menteri memilih serta boleh memecat ahli-ahli kabinet, dan memperuntukkan jawatan kepada ahli-ahli dalam Kerajaan. Dalam kebanyakan sistem, perdana menteri merupakan pengerusi kabinet, tetapi dalam sebilangan sistem yang kecil, khususnya dalam sistem kerajaan separa presiden, perdana menteri ialah pegawai yang dilantik untuk menguruskan perkhidmatan awam dan melaksanakan arahan-arahan Presiden

Dalam sistem-sistem parlimen seperti sistem Westminster United Kingdom, perdana menteri ialah ketua kerajaan, manakala ketua negara (Raja, Ratu, Presiden, atau Gabenor Jeneral [de facto]) yang mungkin secara rasmi merupakan ketua eksekutif memainkan peranan istiadat. Perdana Menteri biasanya, tetapi bukan selalu, merupakan ahli parlimen dan dikehendaki memastikan pelulusan rang undang-undang oleh badan perundangan. Dalam sebilangan pemerintahan beraja, perdana menteri juga mempunyai kuasa eksekutif (dikenali sebagai Prerogatif Diraja) yang terletak pada takhta kerajaan oleh perlembagaan dan boleh dipergunakan oleh perdana menteri tanpa kebenaran parlimen.

Selain daripada merupakan Ketua Kerajaan, perdana menteri mungkin mempunyai peranan atau gelaran yang lain — umpamanya, Perdana Menteri United Kingdom juga merupakan Lord Perbendaharaan Pertama. [1] Para perdana menteri juga boleh memegang jawatan menteri yang lain — umpamanya, semasa Perang Dunia Kedua, Winston Churchill juga merupakan Menteri Pertahanan (walaupun tidak adanya Kementerian Pertahanan ketika itu). Banyak Perdana Menteri Malaysia juga memegang jawatan menteri yang lain, khususnya kementerian-kementerian yang penting seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

  1. ^ Bertentangan dengan tanggapan popular, kedua-dua jawatan adalah berasingan dan tidak perlu dipegang oleh seorang sahaja. Perdana Menteri terakhir yang bukan Lord Perbendaharaan Pertama ialah Lord Salisbury pada peralihan abad ke-20. Sebenarnya, 10 Downing Street ialah tempat kediaman Lord Pertama dan bukannya Perdana Menteri. Oleh sebab Salisbury bukannya Lord Pertama, beliau terpaksa tinggal di tempat kediaman yang lain ketika menjawat perdana menteri.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search