Perjanjian Schengen

Peta negara-negara yang terlibat di dalam Perjanjian Schengen dengan ahli penuh (biru), bukan ahli penuh (merah) dan sedang memohon keahlian (hijau).

Perjanjian Schengen merujuk kepada perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh sekumpulan negara-negara Eropah bagi menghapuskan pemeriksaan sempadan di antara mereka. Terkandung di dalam perjanjian ini ialah peruntukan bagi dasar bersama terhadap kemasukan sementara orang perseorangan (termasuk Visa Schengen), penyelarasan kawalan sempadan luar, selain kerjasama merentas sempadan dalam bidang kepolisan dan kehakiman. Perjanjian ini dinamakan sedemikian bersempena tempat pemeteraan perjanjian ini oleh lima daripada sepuluh negara anggota Komuniti Ekonomi Eropah pada 14 Jun 1985 di Schengen, sebuah pekan kecil di Luxembourg.

Sejumlah 25 negara, termasuk 22 ahli Kesatuan Eropah (EU) dan tiga bukan ahli Kesatuan (Norway, Iceland dan Liechtenstein) telah menguatkuasakan kesemua peruntukan yang dipersetujui di dalam perjanjian ini. Pos kawalan dan pemeriksaan sempadan telah dimansuhkan di antara negara-negara anggota sekaligus membentuk sebuah kawasan tanpa sempadan yang dikenali sebagai Kawasan Schengen. Sebuah Visa Schengen membenarkan seorang pelancong atau pelawat masuk ke dalam kawasan ini. Pemegang permit penduduk di sesebuah negara anggot Schengen boleh juga menikmati kebebasan bergerak ke negara-negara anggota yang lain bagi satu jangka masa sehingga tiga bulan.

Ireland dan United Kingdom merupakan dua negara Kesatuan yang tidak termasuk di dalam perjanjian ini dan masih mengekalkan hak untuk tidak mengikutnya apabila perjanjian ini diserap sebagai undang-undang Kesatuan ini. Kedua-duanya masih belum menamatkan kawalan sempadan dengan negara-negara Kesatuan yang lain tetapi turut mengguna pakai peruntukan berkenaan kerjasama kepolisan dan kehakiman.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search