Saratok

Saratok ialah sebuah bandar dan daerah di Bahagian Betong, Sarawak, Malaysia. Ia terletak di bahagian timur laut Bandaraya Kuching dan keluasannya 1,686.88 km persegi. Untuk memudahkan pengurusan pentadbiran kawasan di Saratok, daerah ini telah dibahagikan lagi kepada 2 daerah kecil iaitu, Daerah Kecil Roban dan Daerah Kecil Kabong. Di setiap Daerah Kecil tersebut, pejabat dan perpustakaan awam telah disediakan demi kemudahan penduduk setempat.

Daerah Saratok kaya dengan ladang-ladang dan kebun-kebun kelapa sawit. Kelapa sawit telah membawa sumbangan yang besar kepada pembangunan daerah Saratok serta telah meningkatkan taraf hidup penduduk sekitar daerah Saratok.

Jumlah penduduk di daerah ini ialah sebanyak 37,918 orang iaitu Saratok (21,100 orang), Kabong (10,091 orang) dan Roban (6,728 orang). Penduduk- penduduk di kawasan Saratok-Roban kebanyakanya terdiri daripada masyarakat Melayu, Iban dan Cina.

Orang-orang Melayu kebanyakannya menetap di kampung-kampung di sepanjang tebingan Sungai Krian. Kebanyakan penduduk kampung bekerja sebagai nelayan, pekebun dan petani. Masyarakat Iban pula kebanyakannya menetap di rumah panjang yang terletak di luar bandar Saratok yang kebanyakannya mengusahakan kebun dan ladang-ladang. Masyarakat Cina pula lebih tertumpu di kawasan pekan Saratok yang kebanyakannya bekerja sebagai perniaga.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search