Sistem tulisan

Sistem tulisan ialah kaedah untuk memaparkan komunikasi lisan secara visual berdasarkan aksara dan satu set peraturan yang mengawal penggunaannya. Walaupun kedua-dua bentuk penulisan dan bentuk pertuturan berguna dalam menyampaikan mesej, berbeza dengan bentuk pertuturan, bentuk penulisan dapat menyimpan dan meminda maklumat yang boleh dipercayai.[1] Sistem penulisan memerlukan kongsian pemahaman antara penulis dan pembaca tentang makna di sebalik pelbagai susunan huruf yang membentuk sesuatu tulisan. Bentuk penulisan pada masa ini selalunya terakam pada medium bertahan lama seperti kertas atau peranti storan elektronik, walaupun kaedah yang kurang tahan lama pun boleh digunapakai, seperti tulisan di pada paparan komputer, di papan hitam, di atas pasir atau melalui contengan kata di langit. Pembacaan teks penulisan tersebut boleh dilakukan melalui pemprosesan dalaman di minda atau boleh juga dilafazkan.

Sistem tulisan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti jenis abjad, jenis sukukataan atau jenis logografi, walaupun mana-mana sistem tertentu mungkin mempunyai sifat-sifat yang boleh merangkumi lebih daripada satu kategori. Dalam kategori abjad, satu set huruf-huruf yang piawai mewakili bunyi-bunyi pertuturan. Dalam kategori suku kata, setiap simbol terhubungkait dengan setiap suku kata atau mora. Dalam kategori logografi, setiap aksara mewakili satu unit semantik berbentuk perkataan lengkap atau morfem. Aksara abjad berbeza daripada aksara alfabet kerana tiada huruf yang khas untuk bunyi vokal, manakala untuk aksara abugida pula setiap huruf mewakili gandingan bunyi konsonan-vokal.

Sistem tulisan yang berjeniskan huruf berfonem tunggal biasanya menggunakan kurang daripada 100 simbol untuk membolehkan pengungkapan dalam sesuatu bahasa, manakala sistem tulisan yang berjeniskan suku kata boleh mempunyai beberapa ratus simbol, dan sistem tulisan yang berjeniskan logografi boleh mempunyai beribu-ribu simbol. Sebilangan besar sistem tulisan di dunia juga memasukkan satu set simbol khas yang dikenali sebagai tanda baca, dan ia membantu dari segi interpretasi serta penangkapan nuansa dan variasi dalam makna sesuatu mesej yang disampaikan secara lisan melalui isyarat dalam bentuk pemasaan, nada, aksen, infleksi atau intonasi.

Sistem tulisan yang sedia ada didahului oleh sistem prototulisan, yang menggunakan piktogram, ideogram dan simbol nemonik lain. Prototulisan tidak mempunyai keupayaan untuk menangkap dan meluahkan pelbagai pemikiran dan idea secara sempurna. Penciptaan sistem tulisan, yang bermula sejak permulaan Zaman Gangsa pada akhir Era Neolitik di akhir alaf ke-4 SM, membenarkan perakaman sejarah manusia bertahan lama dan tepat, tanpa penghilangan atau pengubahan maklumat sebagaimana yang berlaku pada maklumat yang disampaikan melalui tradisi lisan. Tidak lama selepas itu, kewujudan cara penulisan membolehkan komunikasi jarak jauh wujud dalam bentuk yang boleh dipercayai. Selepas itu kemunculan penerbitan pula menyediakan saluran kepada bentuk terawal komunikasi massa.

  1. ^ "Definitions of writing systems". Omniglot: The Online Encyclopedia of Writing Systems and Languages. www.omniglot.com. Dicapai pada 2013-06-29.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search