Zaman Gangsa

Zaman Gangsa - Muséum de Toulouse

Zaman Gangsa atau Zaman Perunggu ialah zaman prasejarah semasa orang membuat alat-alat daripada sejenis logam yang dipanggil gangsa. Gangsa ialah pancalogam tembaga dengan sedikit timah. Ketika itu, kayu, batu, dan bahan-bahan lain juga dipergunakan untuk membuat alat-alat, tetapi gangsa adalah jauh lebih baik untuk kegunaan memotong serta membelah, dan lebih mudah untuk dibentuk.

Bukti-bukti terawal tentang kerja logam gangsa wujud sejak pertengahan milenium ke-4 SM dalam budaya Maykop di Kaukasus. Dari situ, teknologi tersebar dengan pesat ke Timur Dekat dan selepas itu, ke Peradaban Lembah Indus (sila lihat Meluhha).

Zaman Gangsa tidak terjadi pada masa yang sama di seluruh dunia kerana kelompok manusia yang berbeza memulakan penggunaan gangsa pada masa-masa yang berbeza. Di Eropah Barat, Zaman Gangsa berlangsung sejak 2000 SM hingga 800 SM, dan di Timur Tengah, Zaman Gangsa bermula seribu tahun lebih dahulu.

Ahli-ahli arkeologi mempercayai bahawa manusia menjadi lebih teratur pada Zaman Gangsa kerana membuat alat-alat logam adalah sesuatu kerja yang susah dan memerlukan kemahiran khas. Oleh itu, orang-orang yang mempunyai kemahiran baru ini dianggap sebagai orang yang penting. Kemudian, apabila alat-alat besi menjadi popular, Zaman Gangsa berakhir dan Zaman Besi bermula.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search