Banjir

Gambar banjir yang berlaku di negeri Johor, Malaysia.

Banjir (Jawi: بنجير) atau bah (Jawi: به) ialah keadaan air yang menenggelami atau mengenangi sesuatu kawasan atau tempat luas[1] yang biasanya kering.[2] Arahan Banjir Kesatuan Eropah (EU) mentakrifkan banjir sebagai litupan air pada tanah yang biasanya tidak dilitupi oleh air.[3] Dalam erti kata "air mengalir", perkataan itu juga boleh digunakan untuk aliran air pasang.

Banjir boleh berlaku di kawasan rata atau rendah ketika kadar air dibekalkan oleh hujan atau salji lebih tinggi daripada kadar pengeringan. Lebihan air akan terkumpul di suatu tempat dan kadang-kadang boleh mencecah kedalaman berbahaya. Tanah permukaan boleh menjadi tepu dengan air yang menghentikan penyusupan air dengan berkesan. Penyusupan juga lambat di kawasan tanah beku, batu, konkrit, kawasan berturap atau berbumbung. Banjir kawasan bermula di kawasan rata seperti dataran banjir dan di kawasan depresi tempatan yang tidak tersambung ke saluran aliran kerana halaju aliran darat bergantung pada cerun permukaan. Lembangan endoreik mungkin mengalami banjir di kawasan ketika taburan air melebihi kadar penyejatan.[4]

Banjir mungkin berlaku akibat limpahan air dari takungan air, seperti sungai, tasik, atau lautan, di mana air melimpah atau memecahkan benteng, mengakibatkan sejumlah air tersebut melepasi dari sempadan biasa,[5] atau ia mungkin berlaku akibat pengumpulan air hujan di tanah tepu di kawasan banjir. Sungguhpun saiz tasik atau lain-lain jasad air berbeza-beza dengan perubahan musim turunnya hujan dan cairan salji, perubahan saiz ini tidak akan dianggap penting melainkan ia membanjiri harta atau menenggelamkan haiwan peliharaan.

Banjir juga boleh berlaku di sungai apabila kadar aliran melebihi keupayaan aliran sungai, terutamanya pada selekoh atau kawasan berliku di laluan air. Banjir sering menyebabkan kerosakan kepada rumah dan perniagaan jika ia berada di dataran banjir semula jadi sungai. Sungguhpun kerosakan banjir sungai dapat dielakkan dengan berpindah dari sungai dan jazad air yang lain, orang secara tradisinya hidup dan bekerja ditebing sungai kerana tanahnya kebiasannya rata dan subur dan kerana sungai menyediakan pergerakan mudah dan capaian bagi perdagangan dan industri.

Sesetengah banjir berkembang secara perlahan, sementara yang lain seperti banjir kilat, boleh berkembang dalam beberapa minit dan tanpa tanda-tanda hujan. Selain itu, banjir boleh menjadi setempat, memberi kesan terhadap kejiranan atau komuniti, atau sangat besar, yang menjejaskan seluruh lembangan sungai.

  1. ^ "Banjir". Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Jun 2020. Dicapai pada 15 Jun 2020.
  2. ^ "Flood". MSN Encarta Dictionary (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-31. Dicapai pada 28 Disember 2006.
  3. ^ "Directive 2007/60/EC Chapter 1 Article2". Eur-Lex (dalam bahasa Inggeris). 6 November 2007. Dicapai pada 12 Jun 2012.
  4. ^ Jones, Myrtle (2000). "Ground-water flooding in glacial terrain of southern Puget Sound, Washington". Dicapai pada 2015-07-23.
  5. ^ "Flood". Glossary of Meteorology (dalam bahasa Inggeris). Jun 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Ogos 2007. Dicapai pada 9 Januari 2009.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search