Garisan Tarikh Antarabangsa

Garisan Tarikh Antarabangsa di meridian 180°

Garisan Tarikh Antarabangsa adalah garisan rekaan semata-mata menganjur dari kutub utara ke kutub selatan. Garisan ini bertempat di garisan meridian (longitud) yang ke-180 di Lautan Pasifik. Sesiapa yang melintasi garisan ini perlu membetulkan jamnya kepada lebih sehari atau kurang sehari.

Bumi terbahagi kepada 24 zon masa. Seseorang yang terbang ke barat perlu memusingkan jamnya satu jam ke belakang bagi tiap-tiap zon masa (15°) yang dilaluinya. Jadi jika seseorang itu mengelilingi dunia dari London (zon UTC) ke timur, maka dia harus mencepatkan jamnya selama satu jam bagi setiap zon masa yang dilaluinya itu. Oleh itu dia akan “kehilangan” 12 jam apabila dia melalui Garisan Tarikh Antarabangsa, dan 24 jam apabila dia sampai kembali di London. Namun apabila dia melintasi Garisan Tarikh Antarabangsa (dari timur ke barat), dia harus menambah 24 jam (sehari). Ini adalah supaya kiraan masa pengembara tersebut konsisten dengan kiraan masa di seluruh dunia. Sebaliknya jika dia melintasi Garisan Tarikh Antarabangsa dari barat ke timur, dia perlu menolak 24 jam pada jamnya.

Garisan meridian yang ke-180 dipilih sebagai Garisan Tarikh Antarabangsa kerana lautan Pasifik merangkumi sebahagian besar longitud ini. Jadi tidak banyak orang terganggu dengan pertukaran masa di kawasan ini. Garisan Tarikh Antarabangsa tidaklah lurus, malahan bengkok pada tempat-tempat tertentu supaya pulau-pulau yang dilaluinya, contohnya Kiribati, tidak terbahagi dua. Tempat-tempat di mana garisan ini bengkok bergantung kepada kerajaan negara yang dilalui garisan ini.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search