Hukuman mati

Hukuman gantung ialah sejenis hukuman mati.

Hukuman mati ialah hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah membabitkan pesalah dibunuh sebagai balasan jenayahnya, sama ada secara pancung, tembak, gantung, suntikan maut dan sebagainya.

Hukuman mati mempunyai sejarah yang lama dalam masyarakat manusia, dan pernah berlaku di hampir semua masyarakat. Biasanya, hukuman mati itu dilaksanakan demi menegakkan keadilan dalam masyarakat. Tetapi dari segi ketenteraan, hukuman mati ialah satu cara untuk mengawal disiplin tentera. Contohnya, askar yang enggan bertempur atau lari daripada tugasan boleh dihukum mati. Tindakan ini adalah supaya tiada askar yang enggan bertempur kerana takut. Selain itu, hukuman mati juga merupakan satu cara untuk mengadakan kawalan sosial. Di negara yang autokratik, mereka yang mempunyai kelainan pendapat dengan kerajaan barangkali akan dihukum mati. Contohnya di negara komunis, seseorang itu akan dibunuh sekiranya ia dianggap "anti-revolusi" ataupun pemikirannya itu "berbahaya kepada masyarakat".

Cara melaksanakan hukuman mati sebenarnya mengalami banyak perubahan. Pada masa sekarang hukuman mati biasanya dilaksanakan dengan kesakitan yang minimum. Cara yang melibatkan perdarahan dan mengambil masa yang lama biasanya tidak digunakan. Ini adalah kerana hukuman mati bermaksud menamatkan nyawa seorang penjenayah dan tidak bermaksud menyeksanya.

Walaupun banyak negara menggunakan hukuman mati sebagai hukuman untuk jenayah berat, terdapat beberapa negara yang tidak mengamalkan hukuman mati. Contoh negara yang tidak mengamalkan hukuman mati ialah negara-negara dalam Kesatuan Eropah. Mereka menganggap hukuman mati ialah tindakan yang melanggar hak kemanusiaan.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search