Jerebu Asia Tenggara 2013

Gambar satelit kejadian jerebu ini pada 19 Jun 2013 oleh NASA.
Tahap jerebu ini pada 19 Jun 2013.[1]
Tahap jerebu ini pada 23 Jun 2013.[1]

Jerebu Asia Tenggara 2013 ialah satu kejadian jerebu yang bermula pada Jun 2013. Ia memberi kesan kepada beberapa negara di kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Pada 19 Jun 2013, satelit-satelit Terra and Aqua milik NASA telah mengambil gambar-gambar asap dari kebakaran hutan haram di pulau Sumatera, Indonesia yang bertiup ke arah timur ke kawasan selatan Malaysia dan Singapura, menyebabkan jerebu tebal di kawasan tersebut.[2] Seperti yang dinyatakan oleh pegawai tempatan Indonesia, jerebu ini mungkin berasal dari kawasan tanah gambut seluas 3000 hektar di daerah Bengkalis, wilayah Riau, yang telah dibakar oleh pihak yang tidak diketahui pada 9 Jun.[3] Sebanyak 187 titik panas telah ditemui oleh satelit-satelit pada 18 Jun 2013[4] dan menurun ke 85 pada 20 Jun 2013. Pada 23 Jun 2013, 119 titik panas telah ditemui. Pada 24 Jun 2013, 159 titik panas telah ditemui di Riau daripada 227 titik panas yang ditemui di serata Sumatera. Seorang pegawai tentera udara menjelaskan bahawa jumlah titik panas rendah yang ditemui pada sesetengah hari adalah berpunca daripada litupan awan tebal yang menghalang satelit daripada mengesan sesetengah titik panas.[5] Jabatan Alam Sekitar Malaysia mengatakan bahawa 173 titik panas telah ditemui di Malaysia pada 24 Jun, 1 daripadanya di Negeri Sembilan, 1 di Terengganu, 3 di Sabah dan 168 di Sarawak.[6] Kebanyakan titik panas ini dimiliki oleh syarikat-syarikat kelapa sawit atau pekebun-pekebun kecil yang membekalkan kelapa sawit kepada syarikat-syarikat tersebut dan menggunakan kaedah tebas dan bakar tradisional untuk mengosongkan tanah mereka untuk musim penanaman seterusnya.[7] Namun, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mengatakan bahawa kebakaran-kebakaran itu paling berkemungkinan dimulakan oleh syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab dan bukannya oleh pekebun-pekebun kecil dengan kaedah tebas dan bakar.[8] Pada 25 Jun 2013, presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono telah memohon maaf secara rasmi kepada Malaysia dan Singapura atas jerebu yang berbahaya ini.[9]

Pada 26 Jun 2013, 265 titik panas telah ditemui oleh satelit, tetapi sejak itu ia telah menurun ke 54 pada 27 Jun selepas hujan lebat turun sepanjang malam di antara dua hari tersebut. Disebabkan jerebu ini, kelab Cardiff City yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris juga telah membatalkan lawatan selama seminggu ke Malaysia, tempat tinggal pemilik jutawan kelab ini, Vincent Tan, yang dijadualkan bermula pada minggu itu.[10]

Jumlah titik panas di Sumatera terus menurun pada 27 Jun, dengan 42 titik panas direkodkan pada 4 petang. Pada masa yang sama keesokan harinya, hanya 15 titik panas telah ditemui oleh satelit. Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura menyatakan bahawa ini mungkin sebab mengapa keadaan jerebu di Singapura dan Malaysia menjadi semakin baik sepanjang minggu lepas.[11] Junlah titik panas terus menurun sehingga hanya tinggal 7 sahaja pada 29 Jun.[12]

Tabung Alam Sedunia (WWF) telah menuntut semula penggubalan dan penguatkuasaan polisi pembakaran sifar. Berdasarkan pengesanan titik panas oleh satelit, wilayah Riau di Sumatera didapati mengandungi lebih 88% titik panas yang menyebabkan kejadian jerebu yang paling teruk di Singapura dan Semenanjung Malaysia sejak 1997. Dari 1 Jun hingga 24 Jun, satelit-satelit NASA telah mengesan sejumlah lebih 9,000 titik-titik panas di Sumatera, dan lebih 8,000 daripadanya terdapat di Riau.[13]

Setakat 29 Jun, sejumlah 2,800 anggota tentera, serta helikopter-helikopter dan pesawat-pesawat telah diatur kedudukan untuk melawan kebakaran. Kira-kira 3,000 orang awam turut membantu dalam memadamkan kebakaran. Kebakaran-kebakaran juga telah dikurangkan keluasannya dari 16,500 hektar ke 4,081 hektar.[14]

  1. ^ a b Data daripada: Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura
  2. ^ "Smoke Engulfs Singapore". NASA Earth Observatory. 21 Jun 2013. Dicapai pada 21 Jun 2013.
  3. ^ "Haze source 'may be' fire on Riau land parcel 4 times size of Ang Mo Kio". The Straits Times. 21 Jun 2013. Dicapai pada 21 Jun 2013.
  4. ^ "Four times as many hotspots in Sumatra now". The Star. 19 Jun 2013. Dicapai pada 19 Jun 2013.
  5. ^ "Haze continues blanketing Pekanbaru". The Jakarta Post. 21 June 2013. Dicapai pada 22 June 2013.
  6. ^ "Dreaded haze heading north now". The Star. 25 Jun 2013. Dicapai pada 25 Jun 2013.
  7. ^ Jessica Chaem (20 Jun 2013). "Haze hits hazardous levels, Singapore and Indonesia at war of words". Eco Business. Dicapai pada 20 Jun 2013.
  8. ^ "Smog at Hazardous as Singapore, Jakarta Spar Over Fires". Bloomberg. 21 Jun 2013. Dicapai pada 23 Jun 2013.
  9. ^ Maierbrugger, Arno (25 Jun 2013). "Indonesian president apologises for haze disaster". Inside Investor. Dicapai pada 25 Jun 2013.
  10. ^ "Southeast Asia haze crisis eases as rain douses fires". 26 June 2013. Dicapai pada 27 June 2013.
  11. ^ "Haze may have eased due to fewer fires: NEA". The Straits Times. Singapore Press Holdings. 29 Jun 2013. m/s. A6. |access-date= requires |url= (bantuan)
  12. ^ "Air clears in Malaysia as Indonesian fires die out". The Sunday Times. 30 June 2013. m/s. 4.
  13. ^ "WWF renews calls for zero-burn policies to be enacted". Channel NewsAsia. 28 Jun 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Jun 2013. Dicapai pada 29 Jun 2013.
  14. ^ "Hot spot situation 'more under control': Jakarta". The Sunday Times. 30 Jun 2013. m/s. 1. |access-date= requires |url= (bantuan)

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search