Masjid

Sebuah masjid di Johor, Malaysia.

Masjid (مسجد) ialah perkataan bahasa Arab yang bermaksud tempat sujud. Masjid ialah tempat beribadat yang khusus, seperti solat dan iktikaf, bagi orang Islam. Bangunan ini juga merupakan pusat kebudayaan, muamalat, dan perkembangan dakwah Islamiah, serta pusat aktiviti umat Islam. Masjid tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap, tetapi bergantung kepada budaya masyarakat Islam setempat. Dari sudut bahasa,"masjid" bermaksud tempat bersujud.

Sejak zaman permulaan Islam lagi (Rasulullah s.a.w.), kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah malah perdagangan, perundangan, dan penyebaran ilmu, serta pelbagai lagi.

Terdapat beberapa pertikaian mengenai takrif masjid. Ada mereka[nyatakan menurut siapa?] yang mengistilahkan semua tempat bersolat sebagai masjid. Bagaimanapun, takrif yang biasanya diterima guna adalah bahawa masjid merupakan tempat khas untuk bersolat dan telah digunakan untuk solat Jumaat melebihi tiga kali.

Tempat solat yang tidak mengadakan solat Jumaat lebih dikenali sebagai surau atau musala.

Ada 3 buah masjid utama yang dimuliakan umat Islam:

  1. Masjid al-Haram di Makkah - tempat Ka'bah, kiblat solat umat Islam.
  2. Masjid Nabawi di Madinah
  3. Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin

Di Malaysia, pembahagian tempat beribadat dibahagikan kepada beberapa pecahan iaitu:-

  1. Masjid Negara
  2. Masjid Negeri
  3. Masjid Daerah
  4. Masjid Qaryah
  5. Surau

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search