Pemerintahan

Dalam bidang sains sosial, pemerintahan (Jawi: ڤمرينتهن) ialah suatu aturan atau sistem terdiri daripada sekelompok para penggubal undang-undang, pentadbir, dan penimbang tara dalam birokrasi pentadbiran yang berwenang atau berkuasa mengendalikan sesebuah negara pada satu-satu waktu tertentu melalui suatu badan tertumpu[1][2] (bergelar pemerintah atau kerajaan bergantung kepada sistem didirikan dalam negara tersebut - lihat peristilahan). Pemerintahan ialah cara yang digunakan untuk menguatkuasakan dasar-dasar negara, serta juga mekanisme menetapkan dan melaksanakannya.

Negara-negara dilayani oleh pelbagai pemerintahan yang berturut-turut dan berterusan.[3] Setiap pemerintahan yang berikut terdiri daripada satu badan individu yang menguasai pembuatan keputusan politik. Fungsinya adalah untuk menguatkuasakan undang-undang, menggubal undang-undang yang baharu, dan menimbang tara pertikaian. Dalam sesetengah masyarakat, kumpulan ini sering merupakan golongan lingkaran atau golongan keturunan. Dalam masyarakat yang lain pula, misalnya dalam negara demokrasi, peranan politik masih dikekalkan tetapi terdapat pertukaran orang yang kerap untuk mengisi jawatan-jawatan itu.

Dalam kebanyakan masyarakat Barat, terdapat juga perbezaan yang nyata antara kerajaan dengan negara. Ketidaksetujuan awam terhadap sesuatu pemerintahan (diungkapkan, misalnya, melalui tidak memilih pemerintahan kini) tidak semestinya membayangkan ketaksetujuan terhadap negara pada dirinya (yakni rangka kerja pemerintahan itu). Bagaimanapun, dalam sesetengah rejim totalitarian, tidak adanya perbezaan yang ketara antara rejim dan negara. Sebenarnya, pemimpin dalam rejim sebegini sering mencuba mengaburi perbezaan antara kedua-dua itu demi menggabungkan kepentingan diri semata-mata dengan kepentingan negara.

  1. ^ Bealey, Frank, penyunting (1999). "government". The Blackwell dictionary of political science: a user's guide to its terms. Wiley-Blackwell. m/s. 147. ISBN 9780631206958.
  2. ^ "government". Oxford English Dictionary (ed. Online). Oxford University Press. November 2010.
  3. ^ Flint, Colin & Taylor, Peter (2007). Political Geography: World Economy, Nation-State, and Locality (ed. ke-5). Pearson/Prentice Hall. m/s. 137. ISBN 978-0-13-196012-1.CS1 maint: uses authors parameter (link)

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search