Penaklukan Umayyad ke atas Hispania

Al-Andalus di bawah pemerintahan Umayyah

Penaklukan Hispania oleh Kekhalifahan Umayyah ialah penaklukan negeri Kerajaan Visigoth Hispania oleh Kekhalifahan Umayyah. Ia berlaku di antara tahun 711 sehingga 718 M dan melibatkan tanah Semenanjung Iberia yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai Al-Andalus.

Penaklukan Iberia bermula dengan serangan oleh angkatan yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Berber yang diketuai Tariq ibn Ziyad. Mereka mendarat dalam awal tahun 711 di Gibraltar dan memulakan peperangan ke arah utara. Kemenangan muktamad Tariq ke atas perampas takhta Visigoth, Roderic, dalam Pertempuran Guadalete serta pembelotan para waris sah takhta kerajaan Visigoth kepada pihak Islam (Saracen), menyebabkan kerajaan Visigoth berpecah menjadi negara pelanggan Kekhalifahan Umayyah. Dalam dekad yang menyusul, sebahagian besar Semenanjung Iberia ditakluk dan diletakkan di bawah kedaulatan negara Islam. Wilayah yang terlepas daripada pemerintahan Islam adalah kawasan-kawasan tanah tinggi ke arah barat laut (Galicia, Asturias) dan kawasan pergunungan ke arah utara yang dapat dipertahankan orang Basque dengan bantuan orang Frank. Wilayah yang ditawan menjadi Kekhalifahan Cordoba, sebahagian daripada empayar Umayyah yang sedang mengembang.

Pada mulanya angkatan Tariq bergerak ke arah timur laut merentasi banjaran Pyrenees kerana mahu menakluk Septimania, yang pada ketika itu di bawah pemerintahan klien-raja Ardo. Mereka dihalang buat sementara waktu oleh orang Aquitaine di bawah pimpinan Duke Odo Agung dalam Pertempuran Toulouse pada tahun 721. Walau bagaimanapun, selepas mengumpul bala tentera yang lebih besar, mereka menyambung kemaraan ke arah barat laut dan mengalahkan raja Odo dalam Pertempuran Bordeaux. Odo memerlukan bantuan menentang kemaraan tentera Islam dan tidak memiliki pilihan melainkan untuk memohon bantuan daripada [bekas] musuhnya, Charles Martel yang pada masa itu menyandang pangkat tinggi sebagai datuk bandar di Francia. Odo memberikan sumpah setia kepada Martel dan bergabung dengan tentera Frank, yang selepas berjalan secara paksaan, mengalahkan pasukan tentera Islam dalam Pertempuran Poitiers pada tahun 732. Penguasaan Islam ke atas wilayah yang sekarang menjadi negeri Perancis berjeda dan tamat dalam tahun 759.

Kendatipun tentera-tentera Islam menguasai Semenanjung Iberia selama berkurun-kurun selepasnya, kemenangan Pelayo dari Asturias dalam Pertempuran Covadonga dalam tahun 722 mengekalkan sekurang-kurangnya satu negeri kerajaan Kristian di utara. Pertempuran ini kemudiannya menjadi lambang penting di kalangan para Kristian Iberia sebagai titik permulaan Reconquista (maksud harfiah, "Penaklukan kembali")

Kemungkinan oleh sebab orang Islam memandang orang Kristian dan Yahudi sebagai Ahli Kitab, banyak masyarakat ataupun komuniti Kristian dan Yahudi kekal sepanjang berkurun-kurun samasa pemerintahan orang Islam di Al-Andalus.[1]

Dirham Al-Andalus keluaran Khilafah Cordoba, 807 M
  1. ^ Fletcher, Richard (2006). Moorish Spain. Los Angeles: University of California Press. m/s. 35. ISBN 0-520-24840-6.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search