Penilaian Menengah Rendah

Penilaian Menengah Rendah atau dikenali dengan singkatannya PMR, merupakan satu peperiksaan kebangsaan di Malaysia yang ditadbir secara berpusat dengan unsur penilaian kerja kursus di peringkat menengah rendah. Peperiksaan ini diambil oleh pelajar di akhir Tingkatan Tiga sekolah menengah berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Sebelum ini, PMR dikenali dengan nama Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Pelajar yang menduduki PMR semestinya telah mengikuti 6 tahun sekolah rendah di bawah sistem KBSR dan 3 tahun pengajian di bawah KBSM.

PMR terbuka kepada pelajar Tingkatan Tiga bagi semua sekolah menengah bantuan kerajaan dan sekolah menengah persendirian (swasta) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Para pelajar juga diwajibkan untuk mengambil tujuh mata pelajaran asas, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam untuk pelajar Islam atau Pendidikan Moral untuk pelajar bukan Islam. Ramai juga pelajar yang akan mengambil satu mata pelajaran bahasa tambahan di antara Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, dan Bahasa Iban.

PMR telah dimansuhkan pada tahun 2013 dan peperiksaan tersebut secara rasminya ditukarkan kepada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2014 disebabkan kewujudan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search