Rasuah

Rasuah
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang Rasuah

Rasuah (daripada Arab: رشوة, rumi: rasywah) merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Rasuah juga boleh didapatkan dari pelbagai sumber seperti "derma" atau sumbangan dari pihak lain untuk mendapatkan sesuatu yang mereka ingini dengan cara mudah atau jalan pintas di mana si penerima meminta atau memberikan isyarat (hint) untuk mendapatkan "derma" tersebut untuk melakukan aktiviti yang dipinta oleh si pemberi.

Pentakrifannya menurut Transparency International pula ialah "perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah/menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka".

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:

  • meminta atau menerima rasuah
  • menawar atau memberi rasuah
  • membuat tuntutan palsu
  • menyalahguna jawatan atau kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa. Rasuah di kalangan penguatkuasa adalah perkara biasa di kebanyakan negara pengeluar petroleum dan negara miskin terutamanya di Amerika Latin.

Rasuah yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran/birokrasi mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi. Untuk memahami masalah ini dan mencari rumusannya, sangat penting untuk membezakan antara rasuah dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas).

Sama ada sesuatu hal/perilaku dianggap rasuah atau tidak bergantung pada praktik undang-undang di negara/wilayah berkenaan. Contohnya, pendanaan parti politik untuk pilihan raya dianggap satu bentuk rasuah di negara/wilayah tertentu tapi dianggap legal di tempat tertentu lain.

Dalam skop yang luas, rasuah "politik" bermaksud penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan peribadi. Semua bentuk pemerintahan dan organisasi pasti terdapat perilaku rasuah, sama ada sedar atau tidak. Cuma berat (kes) berbeza-beza: daripada yang paling ringan dalam bentuk penggunaan pengaruh dan sokongan untuk memberi dan menerima pertolongan, hingga kepada rasuah yang sudah dianggap satu "prosedur rasmi", dan sebagainya.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search