Sejarah Korea

Rencana ini adalah berkenaan dengan sejarah Korea sehingga pembahagian Korea pada dekad 1940-an. Sila lihat Sejarah Korea Utara dan Sejarah Korea Selatan untuk tempoh selepas Perang Dunia II. Lihat juga Nama-nama Korea.
Amitabha dan Lapan Bodhisattva Agung, skrol Goryeo dari dekad 1300-an.

Sejarah Korea berlangsung sejak dari Zaman Paleolitik Awal bermula kira-kira setengah juta tahun dahulu.[1][2][3][4] Tembikar Korea terawal yang diketahui wujud sejak sekitar 8000 SM, dengan Zaman Neolitik bermula sebelum 6000 SM, disusuli oleh Zaman Gangsa pada sekitar 2500 SM,[5][6][7] dan Zaman Besi sekitar 500 SM.[8][9][10] Mengikut mitos yang diceritakan dalam Samguk Yusa, Dinasti Gojoseon (Joseon Lama), dinasti pertama, diasaskan pada tahun 2333 SM dan kemudian terbentang dari semenanjung Korea ke kebanyakan Manchuria. [11] Menjelang abad ke-3 SM, dinasti itu mula merosot dan akhirnya berpecah belah menjadi sebilangan negeri pewaris.

Negeri Gija Joseon diasaskan pada abad ke-12 SM. Kewujudan dan peranannya menjadi kontroversi pada era moden, dan dilihat kemungkinan sebagai mitologi.[12] Rekod sejarah bertulis pertama tentang Gojoseon dapat dijumpai dari awal abad ke-7 SM.[13][14] Negeri Jin dibentuk di selatan Korea pada abad ke-3 SM. Pada abad ke-2 BCE, Gija Joseon digantikan oleh Wiman Joseon, yang jatuh ke Dinasti Han China pada akhir abad ini. Ini mengakibatkan kejatuhan Gojoseon dan digantikan dengan negara-negara yang berperang, tempoh Proto-Tiga Kerajaan yang menjangkau Zaman Besi akhir.

Pada abad pertama Masihi, tiga buah kerajaan (Goguryeo, Silla, dan Baekje) menakluk negeri-negeri pewaris Gojoseon yang lain dan menguasai semenanjung itu serta kebanyakan Manchuria. Semasa tempoh itu, Korea memainkan peranan yang penting sebagai penghantar kemajuan kebudayaan, dan membantu membentuk kebudayaan dan politik Jepun yang awal. Rekod-rekod banci dari Jepun awal menunjukkan bahawa kebanyakan golongan bangsawan Jepun mengesani jurai keturunan mereka ke semenanjung Korea. Maharaja Jepun yang terkini menyatakan bahawa "ibu Maharaja Kammu telah dicatatkan dalam Babad Jepun sebagai berketurunan daripada Raja Muryong dari Baekje," dan "Beta mempercayai bahawa kita bertuah melihat kebudayaan dan kemahiran sebegitu dihantar dari Korea ke Jepun." [1]

Kerajaan-kerajaan Korea bersaing antara satu sama lain dari segi ekonomi dan ketenteraan. Baekje adalah lebih kuat pada kebanyakaan zaman itu dan banyak kali menewaskan serangan-serangan Cina. Menjelang abad ke-7, kuasa Silla beransur-ansur terbentang ke seluruh Korea dan akhirnya mengasaskan sebuah negara bersatu yang pertama yang merangkumi kebanyakan semenanjung Korea pada tahun 676. Zaman itu sering dipanggil Silla Bersatu. Bagaimanapun, tidak lama selepas kejatuhan Goguryeo, Dae Joyeong, bekas jeneral Goguryeo, mengetuai sekumpulan anak Korea masuk ke Manchuria timur dan mengasaskan Balhae (698 - 926) sebagai pengganti Goguryeo.

Silla Bersatu kemudian berpecah belah pada lewat abad ke-9 menjado Zaman Tiga Kerajaan Akhir (892-936) dan berkahir dengan penyatuan melalui pengasasan Dinasti Goryeo oleh Wang Geon. Sementara itu, Balhae tumbang setelah pencerobohan oleh dinasti Khitan Liao dan para pelarian termasuk putera mahkota terakhir yang berhijrah ke Goryeo, di mana putera mahkota itu disambut baik dan dimasukkan ke dalam keluarga pemerintah oleh Wang Geon, sehingga menyatukan kedua-dua negara pengganti Goguryeo.[15][16] Semasa zaman Goryeo, undang-undang dikanunkan, sistem perkhidmatan awam diperkenalkan, dan budaya yang dipengaruhi oleh Buddhisme berkembang. Bagaimanapun, pencerobohan Mongol pada abad ke-13 menundukkan Goryeo di bawah pengaruhnya hingga pertengahan abad ke-14.[17][18]

Pada tahun 1392, Jeneral Yi Seong-gye mengasaskan Dinasti Joseon (1392-1910) selepas sebuah rampasan kuasa. Raja Sejong Agung (1418-1450) menyebarluaskan abjad Hangul, abjad Korea, sebagai pilihan yang lain untuk aksara Cina yang dahulu merupakan sistem tulisan tunggal. Zaman itu memperlihatkan berbagai-bagai kemajuan kebudayaan dan teknologi. Antara tahun-tahun 1592-1598, Jepun menyerang Korea, tetapi akhirnya ditangkis dengan usaha-usaha oleh angkatan tentera laut yang diketuai oleh Laksamana Yi Sun-sin, angkatan-angkatan tentera penentang, serta bantuan Cina. Pada dekad 1620-an dan 1630-an, Joseon mengalami serangan-serangan Dinasti Qing Manchu.

Pada dekad 1870-an, Jepun mula mengambil alih pengaruh China di Korea dan pada tahun 1895, Maharani Myeongseong dibunuh oleh ejen-ejen Jepun.[19] Jepun memaksa Korea memeterai Perjanjian Eulsa yang menyebabkan Korea menjadi sebuah negeri naungan Jepun pada tahun 1905 dan pada tahun 1910, Jepun mengilhakkan Korea walaupun kedua-dua perjanjian tersebut tidak sah di sisi undang-undang. [20] Rintangan Korea terhadap pendudukan Jepun terjelma dalam bentuk tunjuk perasaan Gerakan 1 Mac besar-besaran yang tidak ganas pada tahun 1919. Selepas itu, gerakan kemerdekaan Korea yang dikendalikan oleh Kerajaan Sementara Republik Korea dalam buangan bergiat di kawasan-kawasan Manchuria, China, dan Siberia yang berjiran.

Dengan kekalahan Jepun pada tahun 1945, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengembangkan sebuah rancangan untuk menubuhkan pentadbiran peramanahan di bawah Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat, tetapi rancangan itu dihentikan tidak lama kemudian. Pada tahun 1948, kerajaan-kerajaan baru ditubuhkan, dan Korea dibahagikan kepada Korea Selatan demokrasi dan Korea Utara komunis pada selarian latitud ke-38. Ketegangan pembahagian yang tidak diatasi akhirnya mencetuskan perang Korea pada tahun 1950 ketika Korea Utara menyerang Korea Selatan.

  1. ^ Eckert & Lee 1990, halaman 2
  2. ^ Christopher J. Norton, "The Current State of Korean Paleoanthropology", (2000), Journal of Human Evolution, 38: 803-825.
  3. ^ Sin 2005, halaman 17
  4. ^ Byeon (1999), m.s. 27. Byeon menjelaskan bahawa lapisan-lapisan bawah di Seokjangni dan tapak-tapak yang lain telah ditarikhkan sebagai 600,000-500,000 SM, dan penemuan lapisan-lapisan yang lebih lama di sebuah tapak di Kaunti Damyang telah melahirkan hipotesis bahawa penghunian hominid di Korea bermula pada sekitar 700,000 SM.
  5. ^ Eckert & Lee 1990, halaman 9
  6. ^ Connor 2002, halaman 9
  7. ^ Jong Chan Kim, Christopher J Bae, "Radiocarbon Dates Documenting The Neolithic-Bronze Age Transition in Korea" Diarkibkan 2012-10-22 di Wayback Machine, (2010), Radiocarbon, 52: 2, pp. 483-492.
  8. ^ Sin 2005, m/s. 19.
  9. ^ Lee Ki-baik 1984, halaman 14, 167
  10. ^ Seth 2010, m/s. 17. sfn error: multiple targets (2×): CITEREFSeth2010 (help)
  11. ^ Go-Choson
  12. ^ Hwang 2010, halaman 4
  13. ^ Peterson & Margulies 2009, m/s. 6.
  14. ^ (Korea) Gojoseon at Doosan Encyclopedia
  15. ^ Kim Jongseo, Jeong Inji, et al. "Goryeosa (The History of Goryeo)", 1451, Article for July 934, 17th year in the Reign of Taejo
  16. ^ Lee, Ki-Baik (1984). A New History of Korea. Cambridge, Massachusetts: Harvard University Press. m/s. 103. ISBN 978-0674615762. When Parhae perished at the hands of the Khitan around this same time, much of its ruling class, who were of Koguryŏ descent, fled to Koryŏ. Wang Kŏn warmly welcomed them and generously gave them land. Along with bestowing the name Wang Kye ("Successor of the Royal Wang") on the Parhae crown prince, Tae Kwang-hyŏn, Wang Kŏn entered his name in the royal household register, thus clearly conveying the idea that they belonged to the same lineage, and also had rituals performed in honor of his progenitor. Thus Koryŏ achieved a true national unification that embraced not only the Later Three Kingdoms but even survivors of Koguryŏ lineage from the Parhae kingdom.
  17. ^ Seth, Michael J. (2011). A History of Korea: From Antiquity to the Present. Landham, Md.: Rowman & Littlefield. m/s. 112. ISBN 9780742567153. OCLC 644646716.
  18. ^ Kim, Djun Kil (2014). The History of Korea (ed. Second). Santa Barbara, California: ABC-CLIO. m/s. 65–68. ISBN 9781610695824. OCLC 890146633.
  19. ^ "Pembunuhan Maharani Myeongseong". Diarkibkan daripada yang asal pada 2004-10-09. Dicapai pada 2007-02-24.
  20. ^ Pengilhakan Paksaan

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search