Skandal Watergate

Skandal Watergate adalah skandal politik yang berlaku dalam tahun 1970-an akibat daripada kejadian pecah masuk ke dalam ibu pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat di kompleks pejabat Watergate dan cubaan pentadbiran Presiden Richard Nixon menutup penglibatannya hingga menyebabkan dia terpaksa meletakkan jawatan.

Presiden Nixon cuba menutup skandal ini selama dua tahun. Skandal ini akhirnya membawa kepada perletakan jawatannya sebagai presiden pada 9 Jun 1974. Dia merupakan satu-satunya presiden Amerika Syarikat yang meletakkan jawatan.

Perkara ini bermula dengan penangkapan lima orang lelaki kerana memecah masuk ibu pejabat Jawatankuasa Demokrat Kebangsaan (DNC) di kompleks Watergate pada 17 Jun 1972. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berjaya mengaitkan wang tunai yang ditemui pada pencuri kepada dana yang digunakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (CREEP), iaitu sebuah organisasi rasmi kempen Nixon. Pada bulan Julai 1973, disebabkan semakin banyak bukti, termasuk testimoni yang diberikan oleh bekas kakitangan dalam penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Senat Watergate, mendedahkan bahawa Presiden Nixon mempunyai sistem pita rakaman di pejabat dan dia telah merekodkan banyak perbualan. Rakaman daripada pita ini mengaitkan presiden, mendedahkan dia cuba untuk menutup perkara-perkara yang meragukan (dan melanggar undang-undang) yang berlaku selepas pecah masuk.

Selepas beberapa siri perbicaraan mahkamah yang panjang dan memenatkan, Mahkamah Agung Amerika Syarikat sebulat suara memutuskan bahawa presiden perlu menyerahkan pita-pita rakaman itu kepada penyiasat kerajaan; yang kemudian dipatuhi olehnya.

Nixon yang hampir pasti dipecat di Dewan Perwakilan A.S. dan berkemungkinan besar disabitkan kesalahan itu di Dewan Senat A.S. akhirnya meletak jawatan presiden pada 9 Ogos 1974. Penggantinya, Gerald Ford kemudian memaafkan Nixon.

Perkataan Watergate secara khusus merujuk kepada Watergate Hotel di Washington D.C. Hari ini ia satu istilah merujuk kepada konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk kepentingan peribadi dan secara umumnya penyalahgunaan kuasa politik.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search