Undang (Negeri Sembilan)

Undang Yang Empat dalam suatu perhimpunan tahun 1897
(Chiefs of Negeri Sembilan, 1897 - dalam simpanan Arkib Negara British)

Undang ialah gelaran Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan. Undang bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin didefinisikan sebagai Raja bagi Negeri Sembilan mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.[1]

Undang pada asalnya adalah penghulu yang dilantik dalam kalangan suku Biduanda, iaitu suku pembesar Melayu berketurunan batin Orang Asli Sakai dan Jakun yang berkahwin campur dengan pembesar Kesultanan Johor Lama dan pembesar Minangkabau semasa zaman awal Negeri Sembilan.

Penghulu ini kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada Kesultanan Johor-Riau dan diperakui sebagai pemerintah berdaulat dalam wilayah masing-masing dan dipercayai mula memakai gelaran Undang pada abad ke-18.[1]

Kedudukan Undang sebagai pemerintah terus diiktiraf oleh Belanda dan British pada abad ke-19 selain Raja-raja Melayu lain dan memainkan peranan dalam mengasaskan institusi asas Tanah Melayu yang menjadi teras kewujudan Malaysia.

Sistem pelantikan dan penggiliran Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan sistem pemerintahan Undang di Negeri Sembilan. Undang juga memainkan peranan dalam mengasaskan Rejimen Askar Melayu Diraja, penubuhan Majlis Perundingan Persekutuan yang kemudian menjadi Parlimen serta sistem pentadbiran awam Malaya (kini Malaysia).[1]

  1. ^ a b c Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan: 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search