Wikipedia:Sumber yang boleh dipercayai

Sila ambil maklum bahawa Wikipedia berhak memadamkan apa-apa petikan, tulisan, rencana dan laman yang ditulis oleh penyunting tanpa memiliki sebarang rujukan dan pengesahan.

Wikipedia merupakan sebuah ensiklopedia, isi kandungannya adalah mengenai fakta. Ini bermakna sebarang pernyataan dalam Wikipedia seharusnya mempunyai sumber rujukan yang absah.

Pernyataan yang tidak mempunyai sumber rujukan adalah sesuatu yang kebenarannya diragu-ragukan. Ia adalah sesuatu yang mudah tercabar, dan lebih buruk lagi barangkali ia merupakan pernyataan yang palsu, yang boleh memudaratkan pembaca. Dengan kebanyakan rencana-rencana yang tidak mempunyai sumber rujukan, maka ia akan menjadikan Wikipedia satu ensiklopedia yang tidak boleh diharap.

Selain menjadikan Wikipedia sebagai gedung ilmu pengetahuan yang telus, adil dan jitu, setiap sumber rujukan juga perlulah diambil dari sumber yang boleh dipercayai dengan fakta-fakta yang benar dan tuntas. Ketiadaan sumber rujukan akan menyebabkan inspirasi Wikipedia sebagai ensiklopedia yang sarat dengan fakta berwibawa hanya tinggal omong-omong kosong sahaja, kerana itu bagi mengelakkan hal ini berlaku dasar utama Wikipedia adalah memastikan segala fakta yang diberikan oleh penyunting WAJIB mempunyai sumber rujukan yang boleh dipercayai.

Ketiadaan sumber rujukan juga dapat membuatkan ramai pihak mempersoalkan kerasional fakta dalam sesuatu ensiklopedia. Anda perlu ingat jika anda menggunakan sumber rujukan yang tidak boleh dipercayai ini memungkinkan maklumat yang terkandung dalam set rencana dapat menyebabkan berlakunya ketirisan fakta, penyataan berat sebelah yang akhirnya menggalakkan fitnah dan permusuhan. Semua ini tidak selaras dengan tujuan penubuhan Wikipedia serta membelakangi nilai-nilai moral dan kebebasan sejagat yang sebenarnya.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search