Dunia Ketiga

"Tiga dunia" zaman Perang Dingin seperti yang digambarkan antara April 1975 dan Ogos 1975.
  Dunia Pertama: Amerika Syarikat, United Kingdom dan sekutu mereka.
  Dunia Kedua: Kesatuan Soviet, China dan sekutu mereka.
  Dunia Ketiga: Negara-negara yang neutral dan berkecuali.

Istilah "Dunia Ketiga" (bahasa Inggeris: Third World) muncul semasa Perang Dingin untuk merujuk kepada baki negara yang kekal tidak memihak dengan NATO mahupun Blok Komunis. Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, negara-negara Eropah Barat dan sekutunya mewakili Dunia Pertama manakala Kesatuan Soviet, China, Cuba dan sekutu mereka mewakili Dunia Kedua. Peristilahan ini merupakan suatu cara mengkategorikan negara-negara dunia kepada tiga kumpulan berdasarkan pembahagian politik dan ekonomi.

Bahagian Dunia ini dilihat termasuk banyak negara dengan sejarah penjajahan di Afrika, Amerika Selatan, Oceania and Asia. Dunia ini turut dikaitkan dengan negara-negara yang berada dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Dalam teori kebergantungan (dependency theory) yang dipelopori pemikir seperti Raúl Prebisch, Walter Rodney, Theotonio dos Santos dan Andre Gunder Frank, Dunia Ketiga ini juga dikaitkan dengan pembahagian ekonomi dunia di mana sistem dunia yang terbahagi ini terdiri daripada "negara-negara teras" (core countries) yang menguasai "negara-negara pinggiran" (periphery countries).[1]

Disebabkan oleh sejarah kompleks berkembang makna dan konteks ini, tidak ada pentakrifan yang jelas atau dipersetujui mengenai Dunia Ketiga.[1] Ada beberapa negara dalam Blok Komunis seperti Cuba yang sering dianggap sebagai "Dunia Ketiga". Keadaan ekonomi banyak negara Dunia Ketiga yang lemah dan tidak maju menyebabkan wujudnya stereotaip bahawa negara-negara miskin dirujuk sebagai "negara-negara dunia ketiga", namun lingkungan "Dunia Ketiga" ini juga sering termasuk negara-negara industri yang baru seperti Brazil, India dan China sekarang lebih sering disebut sebagai sebahagian daripada "gabungan BRIC" (Brazil, Rusia, India dan China). Dari segi sejarahnya, terdapat beberapa negara Eropah berkecuali daripada mana-mana blok politik yang mempunyai tahap ekonomi sangat makmur termasuk Ireland, Austria, Sweden, Finland dan Switzerland.

Beberapa dekad sejak kejatuhan Soviet Union dan pengakhiran Perang Dingin ini, istilah Dunia Ketiga digunakan secara bertukar-tukarnya dengan negara-negara yang kurang membangun serta yang sedang membangun, namun konsep ini dengan sendirinya telah dianggap lapuk pada beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia tidak mewakili keadaan politik atau ekonomi dunia semasa.

  1. ^ a b Tomlinson, B.R. (2003). "What was the Third World", Journal of Contemporary History, 38(2): 307–321.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search